Lebih Pantas Lebih Jauh Industri Penghantaran Ekspres Xizang Pesat Membangun

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 06 November 2025

Bungkusan sedang dipunggah di sebuah pusat pemindahan SF Express di Lhasa, Wilayah Xizang di barat daya China.

Bungkusan sedang dipunggah di sebuah pusat pemindahan SF Express di Lhasa, Wilayah Xizang di barat daya China.

Sekitar pukul 9 pagi, sebuah trak penghantar akan memasuki taman logistik SF Express di pinggir Lhasa, Wilayah Autonomi Xizang di barat daya China. Para pekerja memuatkan bungkusan dengan penuh lancar di atas sawat penyampai, dan mengisihnya ke dalam kontena untuk destinasi yang spesifik.

Pakaian milik Qiang Zhen, iaitu salah seorang penduduk tempatan di Lhasa, adalah antara barangan yang dibeli secara dalam talian dari Guangzhou di Provinsi Guangdong – lebih daripada 3,000 kilometer jauh. Selepas diisih dan dimuatkan ke dalam trak, barangan akan dihantar ke stesen penghantaran tempatan.

Di dalam setiap stesen, kurier akan mengaturkan barangan mengikut kejiranan, sebelum dimuatkan ke dalam beg penghantaran dan seterusnya ke kawasan akhir.

Sebelum pukul 5 petang, Qiang menerima bungkusannya, iaitu kurang daripada 72 jam daripada waktu barangan dibeli.

Untuk rekod, volum penghantaran ekspres China melonjak daripada 83 bilion bungkusan pada 2020 kepada 175 bilion pada 2024, iaitu pertumbuhan tahun secara puratanya sebanyak 20 peratus. Secara hariannya, lebih daripada 500 juta bungkusan diproses, iaitu hampir 6,000 unit setiap saat.

Seorang pekerja mengisih bungkusan dengan kabin pintar di sebuah pusat pemindahan SF Express di Lhasa, Wilayah Xizang di barat daya China.

Seorang pekerja mengisih bungkusan dengan kabin pintar di sebuah pusat pemindahan SF Express di Lhasa, Wilayah Xizang di barat daya China.

Bagi Qiang, halangan pada ketika dulu adalah kos penghantaran setiap barangan iaitu RMB200 setiap barangan, yang disifatkan sebagai sangat mahal. Namun demikian, harga yang semakin murah serta dasar penghantaran percuma membolehkannya untuk membeli-belah.

Ketua SF Express cawangan Tibet, Liu Shuxin berkata bahawa pesanan tahunan bertumbuh daripada 4 juta pada lima tahun dahulu kepada 14 juta pada tahun ini. Di sebalik pertumbuhan tersebut adalah keyakinan pengguna yang semakin meningkat dan kuasa membeli dalam kalangan penduduk Xizang.

Pada separuh pertama tahun ini, jualan runcit dalam talian Xizang mencapai RMB18.07 bilion, meningkat 38.6 peratus dari tahun ke tahun. Difahamkan, barangan berbentuk fizikal meliputi sebanyak 86.1 peratus daripada jumlah keseluruhan, atau bersamaan dengan pertumbuhan sebanyak 39.3 peratus, iaitu antara yang paling pantas di serata China.

Bagi mengendalikan permintaan yang kian meningkat, penyedia logistik kini berganding bahu untuk mencari solusi yang lebih baik.

“Pada masa dahulu, pengangkutan darat ke Xizang adalah sangat perlahan, sementara pengangkutan udara pula adalah sangat mahal. Kini, dengan menggabungkan kedua-duanya, iaitu menggunakan model ‘darat + udara’, kami telah menambah baik kecekapan dan mengurangkan kos,” jelas Liu.

Pihak berkuasa hal ehwal pos Xizang turut menggalakkan syarikat ekspres dan platform e-dagang untuk menyediakan gudang serantau dan tempatan. Dengan menyepadukan dan menghantar penghantaran dari hab-hab tersebut, syarikat kini boleh mengurangkan kos logistik dan menjadikan penghantaran percuma lebih berdaya maju.

Pada masa sama, perkhidmatan logistik wilayah autonomi itu telah meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini.

Penduduk tempatan menghantar cendawan matsutake di sebuah stesen kurier milik SF Express di kampung Tuanjie Xincun di Lhasa, Wilayah Xizang.

Penduduk tempatan menghantar cendawan matsutake di sebuah stesen kurier milik SF Express di kampung Tuanjie Xincun di Lhasa, Wilayah Xizang.

Huang Haifen, yang berpindah dari Guangdong untuk bekerja di Nyingchi, Xizang pada sekitar tujuh tahun yang lalu berkongsi bahawa bungkusan dari wilayah lain hanya mengambil masa empat ke tujuh hari. Meskipun tidak sepantas kilat, beliau menyifatkan ia lebih cepat berbanding waktu pertama kali beliau menjejakkan kaki di wilayah autonomi itu.

Beliau turut menzahirkan kekaguman terhadap kos yang lebih rendah.

“Banyak barang kini didatangkan dengan penghantaran percuma. Meskipun kadang kalanya tiada (penghantaran percuma), penghantaran biasanya hanya berharga RMB5 ke RMB6 ,” katanya.

Tahun ini, Xizang memperhebatkan usaha untuk memperluaskan perkhidmatan penghantaran moden ke kawasan luar bandar dan pastoral, memastikan akses yang saksama. Subsidi serantau menyokong sistem logistik pos dan mengimbangi kos penghantaran luar bandar. ‘Penghantaran percuma ke Xizang’ kini beralih daripada sekadar slogan kepada realiti.

Video

Berita Berkaitan