Pelancongan Warisan Cungkil Potensi Baharu di China

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 17 November 2025

Persatuan Pelancongan China (CTA) baru-baru ini mengeluarkan 20 kes inovatif yang mengetengahkan integrasi warisan budaya tidak ketara dan pelancongan, yang menekankan daya hidup pelancongan warisan.

Kertas Xuan, sejenis kertas buatan tangan yang biasa digunakan untuk kaligrafi dan lukisan, berfungsi sebagai pembawa utama budaya China. Malah, teknik pembuatan kertas Xuan diiktiraf sebagai warisan budaya tidak ketara kebangsaan. Kaunti Jingxian di Provinsi Anhui, timur China dikenali sebagai tempat lahirnya kertas Xuan.

1.	Pengunjung belajar membuat kertas di zon pengalaman warisan budaya tidak ketara di taman budaya kertas Xuan, tarikan pelancong peringkat 4A kebangsaan di kaunti Jingxian, Provinsi Anhui, timur China. (Foto oleh Rong Chao)

Pengunjung belajar membuat kertas di zon pengalaman warisan budaya tidak ketara di taman budaya kertas Xuan, tarikan pelancong peringkat 4A kebangsaan di kaunti Jingxian, Provinsi Anhui, timur China. (Foto oleh Rong Chao)

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, taman budaya kertas Xuan yang juga tarikan pelancong peringkat 4A kebangsaan itu telah melangkaui model tapak warisan tradisional daripada hanya pameran kraf kepada penciptaan pengalaman penuh asyik, merangkumi keseluruhan proses pengeluaran kertas Xuan.

Di tapak tersebut, pengunjung boleh menyaksikan perkembangan bahan mentah yang digunakan dalam pengeluaran kertas Xuan. Di zon pengalaman langsung, pewaris wakil menunjukkan proses pembuatan kertas, sekali gus membolehkan pengunjung menyertai aktiviti amali. Di kawasan penciptaan budaya pula, pengunjung berpeluang melihat kemampuan teknologi digital mengubah kertas tradisional menjadi karya seni moden.

Semasa cuti Hari Kebangsaan dan Pesta Kuih Bulan tahun ini pada awal Oktober, taman budaya tersebut menerima 47,400 kunjungan pelancong, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 13 peratus dari tahun ke tahun.

Kaunti Wuqiao di Provinsi Hebei, utara China terkenal sebagai ‘tempat lahirnya akrobatik China’. Pada 2006, akrobatik Wuqiao disenaraikan dalam kumpulan pertama warisan budaya tidak ketara kebangsaan China.

Wuqiao aktif berusaha untuk menyepadukan akrobatik dengan pelancongan, yang membolehkan pengunjung menikmati persembahan akrobatik tradisional pada waktu siang, sementara menyaksikan pementasan dan perarakan penuh menakjubkan pada waktu malam.

Memetik statistik biro kebudayaan, radio, televisyen dan pelancongan kaunti itu menunjukkan bahawa, semasa cuti Hari Kebangsaan dan Pesta Kuih Bulan tahun ini, Wuqiao menyaksikan 328,300 kunjungan pelancong, iaitu peningkatan 94.3 peratus tahun ke tahun.

Dengan memanfaatkan kemahiran warisan budaya tidak ketara, kaunti tersebut telah membentuk laluan pembangunan tersendiri yang memperkayakan pengalaman budaya, sambil meningkatkan pelancongan.

Yang Hong, pengarah Pusat Penyelidikan Komunikasi Warisan Budaya Tidak Ketara di Universiti Komunikasi China menyifatkan bahawa pelancongan merupakan saluran penting untuk mempamerkan warisan budaya tidak ketara dan telah menjadi platform penting untuk meneroka dan memaksimumkan nilai warisan.

“Pada masa sama, warisan budaya tidak ketara telah menyuntik momentum ke dalam pembangunan pelancongan yang berkualiti tinggi,” kongsi beliau.

Duan Qiang, presiden CTA pula menyimpulkan bahawa pelancongan warisan telah membuka peluang tanpa had melalui kerjasama merentas sektor.

Di tengah-tengah pergunungan dan perairan yang menghijau di pekan Sandan di Dongyang, sebuah bandar peringkat kaunti yang ditadbir oleh Jinhua, Provinsi Zhejiang di timur China pada baru-baru ini telah menyaksikan berlangsungnya pertunjukan fesyen warisan budaya tidak ketara.

Di situ, penduduk kampung tempatan yang memakai pakaian bergaya yang diperbuat daripada belacu biru telah membuat persembahan dengan latar belakang padang teres di sebuah kampung kuno, dengan jelas mencipta semula pemandangan pengeluaran belacu biru dari lebih 400 tahun yang lalu. Penduduk kampung menjadi penghibur budaya, manakala pelancong beralih daripada pemerhati kepada peserta aktif.

Perlumbaan bot naga menarik penduduk dan pelancong di bandar Dali, daerah Nanhai, bandar Foshan, Provinsi Guangdong, selatan China. (Foto ihsan biro budaya, radio, televisyen, pelancongan dan sukan daerah Nanhai)

Perlumbaan bot naga menarik penduduk dan pelancong di bandar Dali, daerah Nanhai, bandar Foshan, Provinsi Guangdong, selatan China. (Foto ihsan biro budaya, radio, televisyen, pelancongan dan sukan daerah Nanhai)

Pertunjukan fesyen warisan budaya tidak ketara ini merupakan cerminan kecil kepada usaha tempatan untuk meneroka bagaimana warisan budaya tidak ketara dapat memperkasakan sektor pelancongan.

Pada 2017, Lin Qi, pewaris wakil belacu biru Dongyang, iaitu barangan warisan budaya tidak ketara di Jinhua telah kembali ke kampung halamannya untuk menghidupkan semula dan memelihara kraf belacu biru.

Sokongan oleh kerajaan tempatan telah menyaksikan beliau berjaya menubuhkan kompleks warisan budaya tidak ketara yang komprehensif, membolehkan beliau menganjurkan aktiviti warisan pengalaman di ladang organik dan di kebun teh.

Kompleks tersebut menghubungkan pelbagai perniagaan, termasuk hotel B&B, restoran vegetarian, kedai kopi dan kedai teh, dalam usaha untuk mewujudkan ekosistem yang meneruskan legasi warisan budaya tidak ketara.

Pada 2024, kompleks itu menjana pendapatan sebanyak RMB44.58 juta dan meningkatkan pendapatan kolektif kampung sebanyak RMB3.95 juta, sekali gus memperlihatkan potensi warisan budaya tidak ketara yang sangat besar untuk memacu integrasi industri primer, sekunder dan tertier.

Di sebuah hotel B&B di bandar Huoshaodian, yang terletak di kaki bukit selatan Pergunungan Qinling di kaunti Liuba, Provinsi Shaanxi di barat laut China, pemilik hotel sibuk membuat tanglung tenunan buluh dan barangan warisan budaya tidak ketara yang lain.

Pendekatan inovatif dalam menyepadukan warisan budaya tidak ketara ke dalam hotel B&B tersebut telah mewujudkan peluang baharu untuk kaunti Liuba menjana lebih banyak pendapatan pelancongan.

Persembahan bertemakan belacu biru, warisan budaya tidak ketara, dipentaskan di kompleks warisan budaya tidak ketara di Dongyang, sebuah pekan peringkat daerah yang ditadbir oleh Jinhua, Provinsi Zhejiang di timur China. (Foto ihsan kompleks warisan budaya tidak ketara)

Persembahan bertemakan belacu biru, warisan budaya tidak ketara, dipentaskan di kompleks warisan budaya tidak ketara di Dongyang, sebuah pekan peringkat daerah yang ditadbir oleh Jinhua, Provinsi Zhejiang di timur China. (Foto ihsan kompleks warisan budaya tidak ketara)

Untuk rekod, Liuba telah membina 193 hotel B&B, menaik taraf 122 kemudahan pertanian, melatih 747 pembantu rumah B&B dan menyokong keusahawanan untuk lebih 5,000 individu.

Pada 2024, produk yang menggabungkan warisan budaya tidak ketara dengan pelancongan B&B menjana jualan tahunan melebihi RMB15 juta, manakala lebih 400 wanita menyaksikan pendapatan bulanan mereka meningkat secara purata RMB2,500 melalui pekerjaan yang berkaitan dengan pengalaman warisan budaya tidak ketara.

“Hari ini, warisan budaya tidak ketara telah menjadi kunci emas untuk memacu pemulihan luar bandar yang komprehensif dan menggalakkan kemakmuran bersama,” kata Wu Ruoshan, ahli majlis Persatuan Pelancongan Beijing.

Video

Berita Berkaitan