- Lain-lain
Model Perniagaan Tanpa Manusia Penuhi Keperluan Pengguna

Seorang pembeli di dalam kedai mudah beli automatik di kampus sebuah universiti di Beijing. (Foto oleh Zhu Yingxi)
Ruang-ruang komersial kecil seperti kedai mudah beli tanpa manusia, gim layan sendiri, bilik belajar sendiri dan kedai kopi layan sendiri sedang membentuk pengalaman pengguna di China. Didorong oleh teknologi dan permintaan yang kian meningkat, ia menawarkan kos operasi yang lebih rendah dan lebih banyak kemudahan.
Menurut statistik, pasaran runcit tanpa manusia di China diunjurkan untuk melangkaui angka RMB50 bilion pada tahun ini.
Li Yawen, pemilik sebuah kedai mudah beli automatik di Provinsi Guangdong di selatan China berkata bahawa, kedai-kedai seperti yang dimilikinya kebiasaannya berkeluasan kurang daripada 10 meter persegi, dengan sewa yang rendah, kos tenaga yang dikurangkan dan kecekapan yang tinggi.
Sistem kawalan akses, kamera serta mesin bayar dan keluar kendiri merupakan trio tunjang kepada ruang pintar tersebut. Di sebalik latar belakang tersebut, algoritma secara automatiknya menyesuaikan harga dan produk yang dipaparkan untuk mengoptimumkan pengurusan dan kecekapan.
Li berkata, setiap pembelian dan setiap kunjungan pelanggan dijejak dalam masa nyata pada komputernya. Sistem AI mengkaji tingkah laku pembeli dan secara automatik mencadangkan bila dan apa yang perlu untuk diisi semula.
Model yang sama juga digunakan dalam latar yang lain seperti kafe dan bilik belajar kendiri tanpa manusia.
Pada pukul 10 malam hari bekerja, bilik belajar kendiri kongsi di Shanghai masih terang-benderang. Sistem tersebut secara senyap mencatat angka individu yang masuk dan keluar, serta menjejak slot masa tempahan. Selepas kerja, Hu Xiaofan, seorang pekerja pejabat datang untuk membuat persediaan bagi peperiksaan kemasukan pengajian peringkat sarjana.
“Bilik belajar kendiri dibuka 24 jam sehari. Ia bagus sebab saya boleh meluangkan waktu malam saya dengan produktif,” kongsi beliau.
Bagi Li, kos operasi yang rendah dan fleksibiliti kedai tanpa manusia adalah kelebihan besar serta faktor mengapa ia berjaya menarik pemilik perniagaan.
Kata beliau, kedai-kedai itu boleh dibangunkan di banyak lokasi seperti di dalam kilang saiz sederhana atau kecil, mahupun bangunan pejabat dengan kurang daripada 300 atau 400 orang, iaitu tempat yang tidak sesuai untuk kedai mudah beli tradisional. Sebuah kedai tanpa manusia pula hanya memerlukan pulangan secara harian sebanyak RMB500 untuk pulang modal.
Pan Helin, seorang anggota Jawatankuasa Pakar untuk Maklumat dan Ekonomi Komunikasi di bawah Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat berkata bahawa, peningkatan ekonomi tanpa manusia bertunjang daripada penyepaduan mendalam oleh AI dengan senario penggunaan.
Beliau berkata, nilainya bukan hanya terletak pada pengurangan kos, tetapi juga dalam menawarkan pengalaman yang diperibadikan dan lebih pelbagai. Melihat ke hadapan, Pan menjangkakan ekonomi tanpa manusia akan berevolusi kepada model hibrid yang menggabungkan perkhidmatan manusia dengan automasi.
- Bas Mini Tanpa Pemandu Beroperasi di Beijing
- Teksi Tanpa Pemandu Mula Khidmat Berbayar di Ibu Negara
- Teknologi Tanpa Manusia Permudah Penanaman Jagung di Xinjiang
- Dari Gerai Tepi Jalan, Kini Bandar Perdagangan Linyi Jadi Hab Beli-belah Antarabangsa
- Ekonomi China Terus Berkembang Kukuh
- Tinjauan Pendapat Umum CGTN mengenai Siang Pleno Ke-4 Jawatankuasa Pusat PKC
- Tinjauan: Sumbangan China terhadap Ekonomi Dunia Dipuji Responden Global
- China Rekod Pertumbuhan Penggunaan yang Stabil Pada Cuti Minggu Emas Super 2025
- AMRO Naikkan Unjuran Ekonomi Serantau 2025
- Peruntukan Kewangan China untuk R&D 2024 Naik 8.9%
- Ekonomi China Berdaya Tahan Pada Separuh Pertama 2025
- JD.com Ungguli Carta 500 Firma Swasta Terbesar China
- Kedai Fizikal Barangan Terpakai di China Kini Semakin Popular




