Chizhou Lipat Gandakan Pengeluaran Buluh, Mahu Ganti Plastik

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 20 November 2025

Foto memperlihatkan hutan buluh di bandar Chizhou, Provinsi Anhui di timur China. (Foto ihsan jabatan publisiti jawatankuasa perbandaran Chizhou Parti Komunis China)

Foto memperlihatkan hutan buluh di bandar Chizhou, Provinsi Anhui di timur China. (Foto ihsan jabatan publisiti jawatankuasa perbandaran Chizhou Parti Komunis China)

Di dalam kilang milik sebuah syarikat produk buluh moso di zon teknologi tinggi Chizhou, di Provinsi Anhui, timur China, peralatan pemprosesan, mesin mengisih dan pengilat beroperasi dengan aktif, menyaksikan barisan pengeluaran automatik menghasilkan straw buluh moso sehingga 5 juta unit sehari.

Setiap tahun, 2 bilion straw yang dikeluarkan dari fasiliti itu kemudiannya menuju ke lebih 40 negara dan wilayah, menggantikan 6,000 tan plastik dan mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 36,000 tan.

Namun demikian, liku-liku kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah.

Ketua syarikat itu, Yin Mingliang telah mendapati potensi pasaran untuk menggantikan plastik dengan buluh moso pada awal dahulu, dan melantik tiga pasukan penyelidik kedoktoran secara berturut-turut untuk membangunkan peralatan yang perlu untuk menghasilkan straw buluh moso. Bagaimanapun, ketiga-tiga pasukan gagal memecah kebuntuan teknikal.

Pada 2017, pasukan kedoktoran keempat menyahut cabaran tersebut. Selepas usaha gigih selama tiga tahun, mereka akhirnya berjaya menangani cabaran teknikal. Untuk rekod, output setiap mesin mencapai 2,000 straw setiap jam, manakala kos unit menurun kepada RMB0.04, sekali gus menjadikan kos straw buluh bersaingan dengan yang plastik.

Difahamkan, hutan buluh Chizhou meliputi lebih daripada 600,000 mu (40,000 hektar). Tetapi, banyak sumber tersebut yang tidak dimanfaatkan. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, kerajaan bandar itu melancarkan pelan tindakan tiga tahun untuk mempercepat penggunaan buluh moso sebagai pelan alternatif, mengembangkan rantaian nilai industri dan mendorong pendapatan petani.

“Sokongan daripada pihak perbandaran untuk pembangunan industri buluh terus berkembang kukuh,” ujar Zhang Yu, individu yang menyelia pangkalan pemprosesan buluh moso di pekan Meijie, daerah Guichi, Chizhou. Pangkalan itu telah mencipta peluang pekerjaan buat 40 penduduk kampung yang berdekatan dengan rumah masing-masing.

Pekan itu juga telah membina dua kilang pemprosesan buluh moso dengan kapasiti tahunan sebanyak 35,000 tan. Produk separa siap kemudiannya dihantar ke fasiliti hiliran untuk pemprosesan mendalam.

Sedikit demi sedikit, Chizhou telah membina sebuah model industri yang menyepadukan perusahaan terkemuka, taman industri pusingan, kilang membelah buluh moso dan koperasi penanaman buluh moso peringkat kampung.

Ketika ini, bandar itu menempatkan 89 perusahaan pemprosesan buluh, dengan kapasiti pemprosesan buluh moso tahun sebanyak 900,000 tan. Pada 2024, industri buluh bandar itu menjana nilai output sekitar RMB3 bilion, menokok 26 peratus dari tahun ke tahun.

Industri tersebut telah membantu dalam pengambilan kerja buat hampir 40,000 isi rumah petani, dengan pendapatan isi rumah tahunan secara puratanya meningkat sebanyak lebih daripada RMB20,000.

Video

Berita Berkaitan