Program "NEV ke Luar Bandar 2026" Akan Dilancarkan Dalam Masa Terdekat

(CRI)Khamis 18 Jun 2026

Lima kementerian dan agensi China termasuk Kementerian Perindustrian dan Teknologi Maklumat serta Kementerian Perdagangan mengeluarkan kenyataan bersama pada Khamis untuk melancarkan program "Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) ke Luar Bandar 2026" dalam masa terdekat.

Program tahun ini membawa tema "Hijau, Rendah Karbon, Pintar dan Selamat - Memberi Manfaat kepada Jutaan Keluarga di Luar Bandar".

Menurut kenyataan tersebut, model NEV yang dipilih akan memberi tumpuan kepada keperluan pengguna di kawasan luar bandar, dengan penekanan terhadap kualiti, kebolehpercayaan dan reputasi baik dalam pasaran.

Kerajaan juga akan terus melaksanakan insentif, termasuk pengecualian cukai pembelian kenderaan, pengecualian cukai penggunaan kenderaan serta mempercepat pembinaan dan penambahbaikan kemudahan pengecasan dan penukaran bateri di kawasan luar bandar.

Selain itu, "NEV ke Luar Bandar 2026" ini juga akan mempromosikan program penggantian kenderaan lama di kawasan luar bandar, dengan zon khas untuk menukar kenderaan lama disediakan.

Pengguna di kawasan luar bandar yang ingin menukar kenderaan mereka kepada NEV boleh memohon subsidi mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Untuk rekod, sejak diperkenalkan pada tahun 2020, program "NEV ke Luar Bandar" telah berkembang secara berterusan.

Sehingga akhir tahun 2025, sebanyak 10 kumpulan katelog telah diperkenalkan melibatkan lebih 500 model NEV dari pelbagai pengeluar.

Video

Berita Berkaitan