China Kutuk Keras Pentadbiran Jepun Hantar Persembahan Ritual ke Yasukuni Jinja - MFA

(CRI)Selasa 20 Oktober 2026

China menyuarakan bantahan keras dan mengecam tindakan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi yang memberikan persembahan upacara keagamaan ke Yasukuni Jinja, baru-baru ini.

Bantahan keras itu dinyatakan jurucakap Kementerian Luar (MFA) China, Mao Ning dalam sidang media di Beijing pada Isnin.

Beliau berkata kuil berkenaan merupakan alat dan simbol spiritual tentera Jepun berfahaman militarisme yang melancarkan perang pencerobohan terhadap negara lain, serta turut menjadi lokasi pemujaan bagi 14 penjenayah perang Kelas A yang pernah disabitkan atas kesalahan menjadi dalang utama dalam perang pencerobohan semasa Perang Dunia Kedua (WWII).

Menurut Mao, China sekali lagi menggesa Jepun supaya melihat sejarah dengan tepat, bermuhasabah diri dan mengambil iktibar daripada kesalahan yang dilakukan.

Ini termasuk menghentikan tindakan yang bercanggah dengan fakta sejarah serta mengambil langkah konkrit bagi membina semula kepercayaan negara-negara jiran di Asia dan masyarakat antarabangsa, tegas jurucakap itu.

Pada 17 dan 19 Oktober lalu, Takaichi dilaporkan menghantar persembahan upacara keagamaan dan memberikan sumbangan kepada Yasukuni Jinja.

Selain itu, malah terdapat beberapa pegawai kerajaan Jepun, tokoh Parti Demokratik Liberal (LDP) serta ahli Parlimen yang bertindak menziarahi kuil berkenaan.

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-80 bermulanya perbicaraan Tribunal Tokyo yang mengheret penjenayah perang kategori A dari Jepun ke muka pengadilan dalam pasca WWII.

Video

Berita Berkaitan