Pemodenan Menerusi Inovasi Sains, Teknologi

Presiden China Xi Jinping menggesa usaha padu untuk mendorong pemodenan negara dengan memanfaatkan inovasi sains dan teknologi sebagai sangga.

Xi membuat penekanan itu dalam satu mesyuarat di Beijing pada 8 Julai, yang menyatukan persidangan anugerah sains dan teknologi kebangsaan, perhimpunan agung anggota Akademi Sains China (CAS) dan Akademi Kejuruteraan China (CAE), serta kongres kebangsaan ke-11 Persatuan Sains dan Teknologi China.

Sebahagian agenda mesyuarat, Xi yang juga setiausaha agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC) dan pengerusi Suruhanjaya Ketenteraan Pusat, menyampaikan hadiah tertinggi China dalam sains dan teknologi.

Sambil mengiktiraf kemajuan China pada tahun-tahun kebelakangan ini, beliau turut menganalisis landskap baharu yang dihadapi masa kini, di samping menggariskan tugas utama dalam pelaksanaan rancangan Jawatankuasa Pusat PKC berkaitan perkembangan sains dan teknologi negara sepanjang tempoh Pelan Lima Tahun (FYP) ke-15 (2026-2030).

Diadakan pada tahun pertama dalam tempoh FYP ke-15, mesyuarat itu dianggap suatu peristiwa penting bagi komuniti sains China. Ia menjadi sumber inspirasi buat Parti, masyarakat, dan terutamanya pekerja bidang sains dan teknologi, agar maju ke hadapan dengan iltizam dan inovasi ke arah merealisasikan matlamat 2035 untuk menjadi negara peneraju sains dan teknologi. Ia juga galakan untuk mereka membuat sumbangan lebih besar demi membangunkan segenap aspek negara melalui modenisasi.

Pemodenan China hendaklah disokong oleh pemodenan sains dan teknologi. Untuk mewujudkan pembangunan berkualiti tinggi, perlunya memupuk penggerak pertumbuhan baharu yang lahirnya daripada inovasi sains dan teknologi.

Dari segi ini, China telah melakar kemajuan yang mampan. Pencapaian tersendiri yang penting telah dilihat dalam bidang seperti kecerdasan buatan, teknologi kuantum, sains hayat dan sains bahan. Misi Chang’e-6 selesai dengan jaya, membawa sampel pertama dari sisi jauh bulan, manakala ubat-ubatan inovatif yang dahulunya sekadar tiruan dan penyelidikan ikutan, kini pembangunannya diakui bertaraf dunia. Jenis tanaman hasil kajian domestik meliputi lebih 95 peratus tanah pertanian negara. Industri baru muncul seperti litar bersepadu, bioperubatan dan robot pintar berkembang pesat. Teknologi terkini termasuk tenaga hidrogen, tenaga lakuran nuklear, antara muka otak-komputer dan komunikasi mudah alih generasi keenam, telah menjadi titik pertumbuhan baharu.

Sejak bermulanya era baharu ini, khususnya pada tempoh FYP ke-14 (2021-2025), China telah mencatat kemajuan berterusan dalam usaha pemodenan dan juga peluasan saiz ekonomi, yang sekarang melebihi 140 trilion yuan. Kunci di sebalik pencapaian ini ialah komitmen negara untuk mengiktiraf peranan sains dan teknologi sebagai penjana strategik dan sokongan asas, terbukti dengan keutamaan yang diberikan terhadap bidang tersebut dalam usaha modenisasi.

China kini sedang mempercepat peralihan daripada status peserta dan penyumbang kepada pelopor dan peneraju sains dan teknologi global, dan telah pun muncul sebagai salah satu negara yang kemampuan inovasinya paling pantas meningkat.

Pada mesyuarat tersebut, Xi menggariskan enam tugas utama, antaranya mempertingkatkan kapasiti untuk kemajuan sistematik sains dan teknologi, menggalakkan integrasi mendalam inovasi sains dan teknologi dengan inovasi industri, serta melahirkan bakat muda bidang sains dan teknologi.

Dalam perjalanan baharu pada era baharu ini, bukan sahaja menjadi suatu misi yang mulia tetapi juga tugas yang mencabar untuk China membina diri sebagai sebuah negara yang kuat dan bangkit melalui modenisasi. Betapa mendesak dan beratnya tanggungjawab membina negara menjadi peneraju sains dan teknologi global, kini semakin terasa. Berpandukan Pemikiran Xi Jinping mengenai Sosialisme Bercirikan China pada Era Baharu, visi yang gemilang ini haruslah direalisasikan langkah demi langkah, dengan bertumpukan kepada matlamat, bercita-cita besar, berbekalkan keyakinan dan keringat, menggapai kemandirian dan kekuatan melangit tinggi dalam sains dan teknologi.

Video

Berita Berkaitan